Showing posts with label telur. Show all posts
Showing posts with label telur. Show all posts

Saturday, January 14, 2012

Kurma Telur


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua....

Bersiaran kembali ...adehh...kalau ikutkan rasa hati ni, mau saja mengundurkan diri dari alam maya buat seketika. Ingin menutup tirai seketika...bukan merajuk atau marah tapi sekadar utk menenangkan fikiran yang semakin hari semakin berserabut dengan masalah plagiat ni. Memang dah acap kali berlaku dan semakin tidak dpt dibendung. Hanya luahan serta sokongan ramai shj yg mampu mengatasi masalah ini. Namun selesai masalah ni, timbul masalah lain pulak. Asyik silih berganti. Sampai bila nak habis? Memang tiada kesudahannya. Bosan dah kan. Semuanya cerita yg sama iaitu mencilok resepi, karangan dan gambar dari blog masakan orang utk tujuan tertentu dan kepentingan diri sendiri tanpa meletakkan apa2 backlink dan sebagainya. Huhu..nak cerita panjang mmg dh rasa malas dah...cakap byk pun tak guna kan. Dah byk kali usaha memerangi masalah seumpama ni tapi masih juga berterusan. Kali ni DJ dah tak mampu untuk senyap lagi. Sekadar meluahkan apa yg tersimpan dan bukannya hendak mencari gaduh atau musuh. 

Buat mereka2 yg baru berjinak dgn dunia blogging terutama blog masakan ni, ingatlah niat sebenar kita. Janganlah mudah mengambil kesempatan atas usaha orang lain. Gunakanlah bakat dan kebolehan sendiri untuk berkarya, dan bukannya menggunakan usaha dan hasil orang lain. Hormatilah mereka2 ini. Janganlah sesuka hati mengambil atau copy and paste gambar masakan tanpa kebenaran tuan punya resepi itu sendiri seperti yang berlaku pd bbrp hari lepas. DJ dimaklumkan bahawa ada beberapa gambar masakan blog ini telah diambil, di'crop', dibuang watermark dan diletakkan watermark sendiri. Bukankah itu menipu namanya??...Sebelum ni mmg dah berlaku byk kali dan DJ hanya senyap shj. Kalau sekadar mengambil gambar tetapi masih ada watermark dari blog ini, DJ msh dapat bersabar dan malas nak melenting tetapi kejadian yg berlaku baru2 ni mmg amatlah menyedihkan. Tak dpt nk dijelaskan dgn kata-kata tentang perasaan ni. DJ hanya berharap org yg berkenaan tampil memohon maaf dengan cara apa sekalipun bagi memulihkan keadaan dan bukannya mengeruhkan lagi suasana. Selesaikanlah dgn cara yang baik, bertindak secara rasional dan bukannya marah2 serta memaki hamun orang. Takkan selesai sampai bila2 pun sekiranya tak ada tolak ansur. Yang salah tetap salah. Bila dah buat kesilapan, segeralah meminta maaf sebelum terlambat. Perkara yg sama berlaku pd blog Masam Manis, Dapur Tanpa Sempadan dan beberapa buah blog lagi yg DJ tak beberapa pasti sb dah fenin2 ...huhuh. Cuba fahami dan hayati 'komen' dari salah seorang rakan blogger kami, Kak Nor pada entri DI SINI. Semoga jelas... sama2 dpt nilai dan pengajarannya.

Oklah, DJ tak nak berbicara lebih panjang lagi tentang kes yg tak habis2 ni. Meh la kita layan dulu resepi kurma telur ni. Menu semalam. Dah bertahun2 gak tak buat telur kurma ni. Sesekali makan tu, mmg berseleralah. Sedap sangat. Resepi pun mudah. Telur rebus tu kdg2 kalau rajinlah kan, boleh juga digoreng terlebih dahulu. Kalau tak nak tak apa. Janji sedap...jom layan resepinya!

Kurma Telur
resepi : DayangJack@DapurKu SaYang

bahan-bahan :
  • 6 biji telur rebus (dibuang kulitnya)
  • 4 biji bawang merah (ditumbuk)
  • 2 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • 1 cm halia (ditumbuk)
  • 2 sudu besar serbuk kurma
  • 1 sudu kecil serbuk cili
  • sedikit santan atau susu cair
  • garam dan sedikit gula
  • 1 sudu makan puri tomato/sos tomato
  • 1 labu bawang besar (dipotong 4)
  • sedikit hirisan tomato (jika suka)
  • sedikit kacang peas (jika suka)
  • rempah 4 sekawan (kayu manis, cengkih, pelaga dan bunga lawang)- jika suka
Cara-cara :
  1. Serbuk kurma, serbuk cili dan tomato puri dibancuh bersama sedikit air untuk dijadikan pes. Ketepikan.
  2. Sediakan minyak secukupnya di dalam kuali/periuk. Tumis bahan-bahan tumbuk dan rempah 4 sekawan hingga wangi. Kemudiankan masukkan pes kurma tadi. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan sedikit air dan diikuti santan/susu cair. Masak hingga mendidih.
  4. Kemudian masukkan garam, gula, bawang besar dan tomato. Bila kuahnya sudah pekat, barulah dimasukkan telur. Sebatikan. Tutupkan api. Taburkan kacang peas semasa menghidang. 

sedapp!


Thursday, December 22, 2011

Telur Rebus Goreng Masak Merah

Kalau ada biji gajus yg sudah dipanggang, boleh campurkan sekali dlm kuah merah ni. Sedaaaap!

Wahh! Tak sangka boleh update 2 entri hari ni....memang pecah rekodlah...hehe. Agaknya terlebih rajinlah tu. Bagus2!..ucap tahniah pd diri sendiri... :D

Alhamdulillah... hari ni DJ nak kongsikan satu lagi resepi mudah dan sangat2 menyelerakan. Dah lama tak buat telur rebus sambal kan. Sebenarnya siang tadi, DJ rasa keliru sket. Tak tau nak masak apa dgn telur yg sudah direbus tu. Ingat nk buat sambal jer, pas tu terfikir pulak nk dibuatkan kerutup tapi akhirnya...beginilah kejadiannya...cara apa sekalipun tetap sedap kan...


Ok, mari kita semak resepinya. Kalau bahan-bahan dah ada, sudi2kanlah mencuba resepi mudah ni ye. ^__^

Telur Rebus Goreng Masak Merah
resepi : DayangJack@DapurKu SaYang

bahan-bahan :

  • 5 biji telur ayam (direbus dan digoreng)
  • 1 cawan santan pekat / susu cair
  • 1 labu bawang besar sederhana saiznya (dikisar)
  • 2 biji bawang merah (dikisar)
  • 2 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 sm halia (dikisar)
  • 1 sm lengkuas (dkisar) - optional
  • 1 senduk cili giling (-/+)
  • 1 sudu besar puri tomato / sos tomato
  • sedikit sos cili
  • sedikit kicap
  • sedikit sos tiram
  • garam dan gula secukup rasa
Cara-cara :
  1. Sediakan minyak secukupnya di dalam kuali/periuk. Tumis bahan-bahan kisar hingga terbit bau.
  2. Masukkan pula cili giling dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Kemudian masukkan sos tomato/puri tomato, sos cili, sos tiram, kicap, garam dan gula secukup rasa.
  4. Masukkan santan dan sedikit air. Kacau sebati. Biarkan ia mendidih hingga pekat. Tutupkan api.
  5. Masukkan telur dan gaulkan. 
  6. Bolehlah dihidangkan bersama nasi.

Thursday, July 21, 2011

Telur Rebus Berkuah Kismis




Resepi campak2 tapi saaaaaangat sedap! 


Telur Rebus Berkuah Kismis
Resepi : DayangJack@DapurKu SaYang

bahan-bahan :
  • 5 biji telur rebus (dibelah dua)
  • 3 biji bawang merah (dihiris)
  • 1 ulas bawang putih (dicincang)
  • 1 labu bawang besar (dihiris)
  • 1/2 sudu makan rempah beriani (rempah kurma pun ok)
  • 1 sudu kecil serbuk cili
  • 1 sudu makan puri tomato
  • 1 sudu kecil sos tiram
  • 1 sudu makan sos cili
  • sedikit hirisan daun ketumbar/daun sup
  • 2 sudu makan kismis (prune atau buah kurma pun boleh)
  • 1 batang kulit kayu manis
  • sedikit air dan susu cair
  • sedikit minyak sapi/minyak masak
  • garam dan gula secukup rasa
Cara-cara :
  1. Bancuhkan rempah beriani bersama serbuk cili dengan sedikit air. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak sapi/minyak masak secukupnya di dalam periuk/kuali. Tumis kayu manis, bawang merah, bawang putih dan bawang besar hingga terbit bau.
  3. Masukkan bancuhan rempah beriani tadi dan diikuti puri tomato. Tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan sos tiram, sos cili, air dan susu cair(optional) secukupnya. Apabila sudah mendidih, masukkan kismis, daun ketumbar/daun sup, garam dan gula secukup rasa. Gaul-gaulkan sebati.
  5. Setelah masak, siramkan kuah ke atas telur rebus tadi. Hidangkan.

Friday, July 08, 2011

Telur Dadar Pecah Serangkak

Assalamualaikum....

yuhuuuu!..i'm backkkk!....salam Jumaat semuaaa....missed u all laaaa....tuan rmh sekali memohon maaf byk2 sebab tak sempat nk membalas komen2 yg lepas. Disebabkan kebizian yg tak dpt dielakkan, dunia blogging terpaksa ditinggalkan skjp....adehh...tp x tahanlah menanggung rindu....terima kasih byk2 sb msh ada yg sudi menjenguk blogku ini yg semakin hari semakin bertambah2 pengikutnya. thanks a lot for supporting me. Alhamdulillah....semoga persahabatan kita di alam maya bertambah akrab dan sentiasa berpanjangan dengan penuh keikhlasan....InsyaAllah.

Bersyukur rasanya dpt menulis entri kali ni biarpun google chrome buat hal dan modem yg dipakai pun buat hal. Dengan menggunakan kembali broadband Celcom dpt jugalah post satu entri. Thanks Celcom. Tetiba jer ari ni line sgt ok kan...heheh. Harap2 ok berterusan lps ni yer. Pasal takleh sign in dan tulis entri pun satu hal. Ingatkan DJ sorang jer tak dpt tulis entri..rupa2nya kak Nor Ganu tu pun mengalami problem yg sama plak setelah baca pesbuk tadi. Yang lain tak ada lah plak kena problem mcm ni kan. hmmm...heran. Tapi Alhamdulillah, dpt juga akhirnya guna GC ni. DJ tak klik kat design atau kat button sign in tu. Sebaliknya DJ tulis kat browser 'blogger.com' pas tu klik search. baru leh sign in. Nak guna IE atau Mozilla malas plak rasanya.

Oklah...dah byk pot pet dah nih..meh kita layan sat menu telur dadar pecah serangkak yg dimasak malam semalam. mmg sedap sgt sih...cuma DJ tukarkan daging ayam ke udang. Resepi ni hasil skodeng dari rmh kak Ummi Kuantan yg terkenal dengan kehebatannya dlm dunia masakan. Biarpun bz dengan kerjaya tapi tetap hebat di dapur. Memang respect sgt2 dgn kak Ummi nih. thanks yer kak krn sudi berkongsi resepi yg sedap ni. Mintak ampun byk2 sebab terderhaka sket kat resepinya...well, biasalah tu kan kak...heheh. DJ kopipes resepinya di sini yer utk rujukan bersama. TQVM....mmmuahh!

Sila2lah cuba resepi yg ringkas tapi sedap ni. Tak rugi tau....

TELOR DADAR PECAH SERANGKAK
Sumber : DayangJack@DapurKu SaYang

bahan-bahan :
  • 4 biji telor
  • 1 labu bawang besar - didadu
  • 1/2 cawan isi ayam - didadu kecil (DJ ganti dgn udang)
  • 2 sudu teh rempah kari daging (DJ guna kari ikan)
  • 1 tangkai cili merah - dihiris halus (DJ guna kapsikum)
  • sedikit daun bawang
  • sedikit bawang goreng
  • garam secukup rasa
  • sedikit minyak untuk menggoreng
  • serbuk lada sulah (DJ tambah)


Cara-Cara:-
  1. Panaskan minyak dalam non-stick pan dan tumiskan bawang besar tadi hingga naik bau.
  2. Masukkan isi ayam dan diikuti dengan rempah, kacau balik hingga ayam masak. Ratakan ayam dalam kuali.
  3. Perlahankan api. Ambil sebiji telor dan pecahkan terus ke dalam kuali (ala-ala masak telor mata kerbau). Seterusnya pecahkan telor hingga habis dengan meletak telor perlahan-lahan di dalam kuali menutupi isi ayam.
  4. Tabur garam secukup rasa. Tutup kuali selama 1 - 2 minit.
  5. Bila nampak telor sudah 3/4 masak, tabur bawang goreng dan tutup api. Tolakkan telor dadar perlahan-lahan ke dalam pinggan. 
  6. Sedia untuk dihidangkan dengan nasi panas atau boleh dimakan begitu sahaja.


Tuesday, May 31, 2011

Sambal Telur



Assalamualaikum....

Entri terlewat lagi....hari ni tak brp rajin nak masak best2..so, MeM masak yg simple2 jer. Buat sambal telur, terubuk masin goreng dan bayam rebus letak fishball...tu je lah. Walaupun agak simple tapi anak2 teramat suka akan sambal telur ni. Alhamdulillah...habiss licin! hmmm...kena fikir nak masak apa plak utk mlm ni....

Sambal Telur
Resepi : DayangJack@DapurKu SaYang

bahan-bahan :
  • 4 biji telur rebus (digoreng)
  • 1/2 labu bawang besar (dikisar)
  • 4 biji bawang merah (dikisar)
  • cili giling secukupnya
  • sedikit belacan bakar (dikisar)
  • sedikit air asam jawa
  • garam dan gula secukup rasa
  • 1/2 labu bawang besar (dihiris bulat)
Cara-cara :
  1. Tumis bahan-bahan kisar dan cili giling hingga garing.
  2. Masukkan garam, gula dan air asam jawa secukupnya. Kemudian masukkan bawang besar. Kacau sebati. (boleh juga masukkan air jika ingin berkuah)
  3. Setelah masak, masukkan telur dan gaulkan rata-rata.
  4. Hidangkan.

Friday, January 21, 2011

Telur Dadar Bayam Bermayonis


Menu telur dadar kesukaan anakanda Danial. Dah mmg byk kali buat. In fact, dia sendiri yg mengolah resepinya. Dari mana dia dpt idea ni tak taulah tp mmg boleh tahan sedapnya. Kalau masak jer telur dadar ni, tak pandang dah  lauk lain...hehe.

Telur Dadar Bayam Bermayonis

  • 3 biji telur 
  • hirisan bayam secukupnya
  • sedikit hirisan bawang besar
  • 1 sb susu segar - optional
  • 1/2 biji tomato (dibuang empulurnya dan dipotong dadu)
  • 1/2 sudu makan mayonis
  • sedikit lada sulah
  • sedikit garam
Cara-cara :

Pukul telur dan susu dgn whisk atau garpu. Kemudian masukkan garam dan mayonis. Pukul lagi hingga sebati. Masukkan bahan-bahan selebihnya dan kacau rata-rata. Panaskan sedikit minyak di dlm kuali leper, dadarkan telur dgn api sederhana hingga masak. Hidangkan. (boleh juga ditumiskan dulu bahan-bahan sebelum dimasukkan telur).

Wednesday, December 22, 2010

Telur Rebus BerSos


Menu telur yg dah agak lama gak tak buat. Cara penyediaannya sangat ringkas dan yg paling penting, sedap dan memikat selera.



Resepi ni dh lama gak dyg letak kat dapur Myr dan juga dlm blog ini. Cuma kali ni dyg edit sikit bahan-bahannya mengikut stok. O ya, ini adalah salah satu menu semalam yer. Yang hari ni punya, belum ready lagi...hehe. 



Bahan-bahan ( hidangan sekeluarga )

  • 5 biji telur (direbus dan dibelah dua)
  • 1/2 labu bawang besar (dihiris dadu)
  • 3 ulas bawang merah (dicincang)
  • 1 ulas bawang putih (dicincang)
  • 1/2 sudu makan cili giling
  • sos cili secukupnya
  • sedikit sos tiram
  • 1 sudu makan sos tomato
  • Rempah 4 sekawan (kulit kayu manis,bunga cengkih,buah pelaga dan bunga lawang
  • sedikit air
  • 1 camt tpg jagung (optional)
  • sedikit garam dan gula  (optional)

Cara-cara

  1. Panaskan sedikit minyak di dlm kuali dan tumis rempah 4 sekawan, bawang besar, bawang merah, bawang putih hingga terbit bau. Kemudian masukkan cili giling dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  2. Masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato dan air (boleh tambah garam dan gula jika perlu). Kacau sebati hingga pekat (kalau x pekat, blh ditambah dgn tpg jagung jika suka).
  3. Susunkan telur di dlm mangkuk/pinggan. Siramkan kuah sos tadi di atasnya.
  4. Sajikan dengan nasi panas. Mudah, kan? Selamat Mencuba!

Friday, January 08, 2010

Fritata Seafood


Salam....

Bertemu kembali kita hari ni ya...Alhamdulillah...dapat juga post menu utk hari ni biarpun x dapat nk tayang semua lauk. Yalah, lauk2 lain dah byk kali masuk tayangan amal. Yang ni rasa2 belum pernah lagi di 'post' kat sini kan...

Kenyang sungguh makan fritata ni yg asalnya adalah makanan Italian. Lebih kurang mcm kita nak buat omelet jugak. Cuma yg ini kita pelbagaikan bahan2nya. Nak letak spices pun boleh. Cara nak masaknya samada menggunakan gril atau masak atas dapur jer mengikut kesesuaian dan citarasa masing2.




Memang sedap dan mengenyangkan! ..tak payah makan nasik pun. Hidangan ni sesuailah utk breakfast atau dihidangkan bila2 masa shj. Time tengah rajin ni mcm2 benda nak dicampurkan dgn telur ni. Kalau malas, buat telur goreng biasa jer...hehe.

Ok di sini dyg kongsikan resepinya yer. Mana tau lepas ni ada yg berminat nak cuba.

Resepi Fritata Seafood

Bahan-bahan :
  • 5 biji telur
  • sedikit lada sulah
  • garam secukupnya.
  • 1/2 labu bawang besar (dihiris dadu)
  • 2 ulas bawang putih (dicincang)
  • 1/2 cm halia (dicincang) - optional
  • 1 biji cili merah (dihiris dadu)
  • 1 biji kentang rebus (dipotong dadu)
  • sedikit crab stick (dihiris)
  • sedikit udang basah (dihiris)
  • 1 sudu kecil serbuk kari (dibancuh dgn sedikit air)*
  • sedikit daun kari*
  • sedikit kacang pis @ mix vege
  • sedikit minyak 
Cara-cara :
  1. Kisar telur bersama lada sulah dan sedikit garam hingga kembang. (30 saat)
  2. Panaskan minyak di dalam kuali leper. Tumis bawang besar, bawang putih dan halia hingga perang.
  3. Masukkan pes kari dan daun kari. Kacau hingga garing.
  4. Kemudian masukkan udang dan sedikit air. Tumis hingga separuh masak. Masukkan pula isi ketam, kentang, cili merah dan kacang pis / mix vege. Perasakan dgn garam. 
  5. Kemudian tuangkan adunan telur tadi perlahan2 dan biarkan ia masak dgn api kecil. Seelok2nya tutup kuali dgn tudungnya supaya fritata masak sekata.
  6. Setelah masak, bolehlah dipotong dan hidangkan. 
 * serbuk kari dan daun kari kalau tak letak pun ok. Tapi serbuk lada sulah digantikan dgn serbuk lada hitam dan taburkan keju parut (jika perlu) pada langkah No 5.


Tuesday, October 27, 2009

Poached Egg....lagik

Hari ni sekali lagi buat poached egg versi 'malu2 kucing' atau versi menutup aurat...heheh....terima kasih sekali lagi kpd K.Nor krn sudi berkongsi tip cara2 nak buat poached egg.


Jadi, sesiapa nak belajar buat poached egg ni, jom la ke rumah k.Nor. Very easy!....

Sunday, October 04, 2009

Kari Telur Puyuh

Antara menu tengahari tadi ialah kari telur puyuh. Biasanya dayang buat sambal telur tapi kali ni ubah selera ler pulak. Alhamdulillah...kena dgn taste.

Masak pun simple dan main campak2 jer resepinya. Janji sedap....


Bahan-bahan :
  • telur puyuh rebus
  • bawang merah
  • bawang putih
  • halia
  • 1 batang kulit kayu manis
  • serbuk kari daging
  • 2 sb santan pekat
  • sedikit air
  • cili kering kisar
  • daun kari
  • garam
  • sedikit hirisan bawang besar dan cili merah

Friday, August 14, 2009

Telur Rebus Bersos II

Salam Jumaat....hari ini plan nak masak ketam tapi tetiba tak jadi pulak sebab tak lengkap bahan. Mungkin esok atau lusa kot. Itupun bergantung pd mood gak. Jadi, hari ni masak ala kadar je lah. Inilah salah satu menu yg selamat di'upload' kat sini.

Menu telur rebus ni mmg menjadi kegemaran kami sekeluarga. Tapi taklah dimasak selalu. kadang2 je. Resepinya pun ringkas dan sedap.

Bahan-bahan :
  • 4 biji telur rebus (dibelah dua)
  • 1 labu bawang besar*
  • 2 ulas bawang putih*
  • 1 batang kulit kayu manis - jika suka
  • 2 sudu makan sos cili (dayang hanya guna brand 'maggie')
  • sekeping asam gelugur
  • 1 sudu makan cili kering kisar
  • 1 labu bawang besar(dimayang)
  • garam dan gula
Cara-cara :
  1. Kisar bahan2 bertanda *.
  2. Panaskan sedikit minyak di dlm kuali. Tumis bahan2 kisar, cili kering dan kulit kayu manis hingga naik bau dan pecah minyak.
  3. Masukkan sos cili, garam, gula, asam gelugur dan sedikit air. Kacau dan biarkan merendidih. Masukkan bawang besar dan kacau hingga layu. Padamkan api.
  4. Siramkan ke atas telur rebus tadi. Hidangkan.

Sunday, July 19, 2009

Sambal Telur

Salah menu sedap utk hidangan hari ini.

Friday, June 05, 2009

Telur Bungkus

Menu utk si manja. Ilham daripada masakan Thai tetapi resepinya dayang buat cara sendiri. Yalah, bukan senang nak menarik minat anak2 supaya makan makanan yang berzat lebih2 lagi kalau ada sayur. Alhamdulillah, stkt ni anak2 xdelah cerewet sgt. Makan ape jer jenis sayur asalkan sedap terutamanya sayur bayam. Tu pun terpulanglah pd kreativiti masing2 bagaimana nak attract anak2 supaya menyukai sayur-sayuran.

Oopps!..lupa nak bg tau...ni menu bbrp minggu lepas. Baru sempat nak post. Silalah cuba resepi ni yer. Mmg sesuai sgt utk budak2. Sedap dan x pedas.

Bahan-bahan :
  • sedikit isi ayam (dihiris/dicincang)
  • 1 ulas bawang putih (dicincang)
  • sedikit sayur campur
  • 1 biji bawang merah (dicincang)
  • 1/2 labu bawang besar (dipotong dadu)
  • 1 sudu makan sos tomato
  • 1/2 sudu makan sos cili kurang pedas
  • 1 sudu makan sos tiram
  • sedikit kicap manis
  • sedikit air + tepung jagung (dibancuh)
  • minyak masak
  • 2-3 biji telur (dipukul)
Cara-cara :
  1. Panaskan minyak di dlm kuali. Tumis bawang2 hingga wangi. Masukkan ayam. Kacau rata2.
  2. Masukkan sos tiram, sos tomato dan sos cili. Kacau sebati.
  3. Masukkan sayur campur, tepung jagung dan kicap manis. Setelah masak, ketepikan.
  4. Untuk telur : Panaskan sedikit minyak di dlm kuali leper. Masukkan telur dan leperkan. Letakkan inti tadi dan lipatkan.

Tuesday, June 02, 2009

Pecal

Ni la salah satu menu kegemaran dayang. Cukup mengenyangkan sehingga terlupa nak menjamah nasi. Sayang xde tempe. Kalau ada, lagi best. Ape2pun layan jer...

Bahan-bahan :
  • telur rebus
  • kacang panjang
  • sengkuang
  • kangkung
  • tauhu (digoreng)
  • taugeh
untuk kuah : cili kering, bawang merah, bawang putih, belacan bakar, kacang tanah, gula, garam dan air panas

Saturday, April 18, 2009

Sambal Telur Kacau

Hari ni tak taulah nape payah betul nak makan padahal lauk dah masak. Cuma tekak ni jer yg tiba2 jd cerewet plak...finally, dyg dapat idea mcm mana nak naikkan selera...inilah dia...Sambal Telur Kacau....waduh3! enak bangat! makan dgn nasi panas lagi tuh...budak-budak dah makan nasi goreng dan ayam bakar...ok la tu....

Sambal Telur Kacau

Bahan-bahan :
  • 3 biji telur
  • 1-2 sudu makan cili kisar
  • 1 ulas bawang putih (diketuk)
  • sedikit lada sulah
  • sedikit garam
  • 1/2 labu bawang besar (dihiris)
  • minyak utk menumis
Cara-cara :
  1. Satukan telur dgn garam dan lada sulah di dalam satu bekas dan pukul sedikit.
  2. Panaskan minyak di dlm kuali. Tumis bawang putih dan cili kisar hingga pecah minyak.
  3. Masukkan bawang besar.
  4. Akhir sekali masukkan telur sambil dikacau hingga masak.
  5. Hidangkan dgn nasi panas. Sedap!!!

Sunday, March 08, 2009

Sambal Tumis Telur Puyuh

Haa..., nilah salah satu makanan kesukaan suami tercinta. Honestly, sepanjang perkahwinan, dyg x pernah beli sendiri telur puyuh ni melainkan dia. Kalau dia beli, dyg akan masak, tapi kalau x, xdelah dyg masak. Org kata, kalau nk pikat hati suami, kenalah masak ape yg dia suka. Tapi dyg bersyukur sb suami x cerewet pasal makanan. Dia akan makan ape shj yg dyg masak asalkan makanan tu bersih dan x terlalu masin dan manis. Anak2 pun suka.

Sambal Tumis Telur Puyuh

Bahan-bahan :
  • 15-20 biji telur puyuh (direbus dan digoreng keemasan)
  • 5 biji bawang merah (dikisar)
  • 2 ulas bawang putih (dikisar)
  • 3 sb cili kering kisar
  • 1/2 inci halia (dikisar)
  • segenggam udang kering (dikisar)
  • 2 sb susu cair
  • 1 sb sos tomato
  • 1 sb sos tiram
  • garam dan gula secukupnya
  • minyak utk menumis
Cara-cara :
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan2 kisar hingga wangi.
  2. Masukkan sos tiram, sos tomato dan susu cair. Kacau dan tambah sedikit air.
  3. Perasakan dgn garam dan gula.
  4. Masukkan telur dan gaulkan sehingga rata. Bila kuah agak pekat, tutupkan api.
  5. Hidangkan.

Wednesday, March 04, 2009

Omelette

Untuk breakfastku hr ini...sungguh ringkas dan sedap. Cukup sekadar makan dgn 2 keping roti berplanta dan jus anggur. Sesuai utk berdiet.

Omelette

Bahan-bahan :
  • 2 biji telur
  • sedikit lada sulah
  • sedikit bawang besar (dicincang)
  • sedikit mentega
  • sedikit keju parut
Cara-cara :
  1. Telur dipukul sedikit.
  2. Panaskan mentega di dlm kuali leper.
  3. Tumiskan bawang. Masukkan telur, lada sulah dan keju parut.
  4. Biarkan sampai masak.
  5. Hidangkan.

Friday, February 27, 2009

Kerutup Telur

Hari ni masak kerutup telur....sedaap!